PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-96 tahun.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut dihujani dengan ucapan selamat ulang tahun kelahiran di platform-platform media sosial daripada rakyat Malaysia tanpa mengenal usia atau fahaman politik.
Turut mengucapkan selamat hari lahir kepada tokoh negarawan itu adalah bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak yang dahulunya pernah berbeza pendapat dengan beliau.
“Selamat ulang tahun kelahiran ke-96. Moga dikurniakan nikmat kesihatan yang baik serta limpahan ketenangan dan keamanan,” kata Najib menerusi satu kemas kini status di laman Facebook.
Turut disertakan dalam ucapan berkenaan adalah sekeping tangkap layar siaran berita tempatan memaparkan kenyataan Tun Mahathir yang berbunyi ‘Biar apapun, Najib adalah puncanya’.
Tinjauan di laman Facebook Tun Mahathir mendapati Bapa Pemodenan Malaysia itu turut menerima ratusan ucapan hari kelahiran daripada rakyat Malaysia yang rata-ratanya mengagumi kekuatan sosok tubuh itu yang kekal bekerja di usia lanjut.
“Di ulang tahun kelahirannya ke 96 tahun, masih bekerja seperti biasa. Bagaimana kita tidak terasa sekiranya ada orang memburukkan beliau. Selamat ulang tahun Tun M, saya doakan semoga Tun M dan Tuh Hasmah sentiasa dalam rahmat dan redha Allah S.W.T.,” kata Nurul Afifah Alias.
“Salam hormat Tun, anda telah menunjukkan bahawa usia bukan halangan, Terima kasih kerana sentiasa mendahulukan rakyat. Selamat hari lahir, semoga diberkati dengan kesihatan yang baik dan dipanjangkan usia,” ucap Gary Sim. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929