PETALING JAYA -Tindakan seorang lelaki berkongsi makanan dengan dua ekor anjing liar mendapat pujian pengguna media sosial malah disifatkan sebagai mencuit hati apabila salah seekor anjing tersebut enggan berkongsi makanan yang diberikan.
Menerusi satu video di laman Tiktok yang dikongsikan ke Twitter, seorang lelaki kelihatan baru sahaja ingin menikmati hidangan sosej atau ‘corndog’ sebelum dihampiri oleh dua ekor anjing liar.
Atas dasar simpati, lelaki berkenaan telah ‘mengorbankan’ satu daripada dua corndog miliknya kepada haiwan tersebut untuk dikongsikan namun terkejut apabila salah seekor daripada anjing berkenaan bertindak melarikan ‘habuan’ tersebut.
Tidak berdiam diri, lelaki berkenaan seterusnya bertempik meminta agar anjing itu berkongsi makanan tersebut dengan rakannya.
“Wei nak pergi mana tu? Kongsi lah dengan kawan kau. Kau jangan kawan dengan dia, dia tak nak berkongsi dengan kau,” jerit lelaki berkenaan.
Tidak ingin menghampakan seekor lagi anjing, lelaki berkenaan telah menggigit sedikit corndog terakhir miliknya dan memberikan bakinya kepada anjing berkenaan yang masih menunggu diberi makan.
“Kejap, kejap, aku ambil sikit kau makan sikit, kita kongi sama-sama,” ujarnya kepada anjing berkenaan.
Tindakan lelaki itu yang turut dirakamkannya telah mendapat reaksi positif daripada orang ramai yang mengucapkan tahniah dan berterima kasih kerana tidak mementingkan diri sendiri malah bersifat pemurah lebih-lebih lagi dalam keadaan mencabar sekarang.
“Tahniah bang, anda memang seorang yang pemurah, sedikitpun tidak berkira dengan haiwan walaupun anjing liar. Mungkin mereka sukar mendapatkan makanan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak kedai makan tutup dan tiada orang beri mereka makan.
“Semoga abang dimurahkan rezeki dan corndog abang itu digantikan dengan sesuatu yang lebih baik kelak,” kata seorang pengguna Twitter dengan nama @ellieyan.
Seorang lagi pengguna dengan nama @lilyazry turut berterima kasih kepada lelaki berkenaan kerana menghiburkan hatinya yang kini sedang tertekan akibat sudah lama tidak keluar rumah.
“Terima kasih abang, terhibur tengok abang bebel dekat anjing liar. Walaupun saya tertekan bosan duduk rumah, tergelak juga tengok orang marah anjing tidak kongsi makanan. Marah tapi kami tahu abang ni orang yang baik,” ciapnya.
Perkongsian di laman Twitter itu telah mendapat lebih daripada 21,000 ciap semula dan 23,000 tanda suka daripada pengguna media sosial malah ramai di antara mereka yang menontonnya turut berkongsikan gambar dan video mereka memberi anjing liar makan.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929