RANTAU PANJANG – Seorang lelaki sanggup terjun ke dalam Sungai Golok untuk melarikan diri daripada dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan ganja seberat lima kilogram (kg) di pangkalan haram Pos Man di sini semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA melihat seorang lelaki berada di sebuah pondok di pangkalan haram itu sambil memegang sebuah kotak semasa melakukan rondaan kira-kira pukul 8 malam.
Menurutnya, apabila menyedari kehadiran anggota PGA, lelaki itu terus terjun ke dalam Sungai Golok dan berenang ke arah negara jiran.
“Pemeriksaan di lokasi itu, kita telah menjumpai sebuah kotak mengandungi paket ganja mampat seberat lima kg dianggarkan bernilai RM12,500 yang ditinggalkan suspek.
“Selain paket-paket ganja, kita turut merampas satu unit picagari. Siasatan awal mendapati, dadah-dadah itu dibawa masuk ke negara ini melalui pangkalan haram tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azhari, berdasarkan siasatan, pihaknya tidak menolak kemungkinan bekalan ganja itu akan dijual di pasaran di sekitar daerah ini. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929