KLUANG – Seorang lelaki nekad memecahkan tingkap tandas sebelum terjun dari tingkat lapan Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mangsa yang maut dalam kejadian pukul 3.45 petang itu berusia 55 tahun.
“Mangsa dimasukkan ke hospital tersebut pada Isnin lalu kerana menghidap masalah ulser usus dan menjalani pembedahan pada hari sama.
“Hari ini mangsa meminta keluar wad dan dibenarkan pada sebelah petang. Sementara menunggu proses keluar wad, mangsa beritahu hendak ke tandas sebelum ditemui meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hang Seng berkata, mangsa bukan pesakit Covid-19.
Setakat ini punca sama ada mangsa mempunyai masalah peribadi hingga nekad terjun masih dalam siasatan.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929