fbpx

LPPSA i-Prihatin bebankan peminjam – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

PETALING JAYA – Tindakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin seperti mahu mengambil keuntungan secara berselindung daripada penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, program itu bukan membantu penjawat awam sebaliknya ia membantu syarikat insurans untuk melakukan jualan.

Beliau berkata, pihaknya tidak faham mengapa agensi kerajaan seperti LPPSA masih mahu mencari keuntungan ketika kebanyakan rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Walaupun program ini menawarkan perlindungan tambahan, Cuepacs merasakan program yang kononnya ‘prihatin’ tetapi tetap mengenakan bayaran langsung tidak mencerminkan keprihatinan LPPSA untuk bersolidariti membantu rakyat yang terkesan.

“Sedangkan semua pembiayaan perumahan yang diluluskan LPPSA telah dikenakan caj insurans yang agak tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan berkata, mengapa LPPSA perlu menjual perlindungan tambahan sekiranya ia boleh dimasukkan dalam perlindungan insurans sedia ada.

Jelasnya, LPPSA perlu menjadi badan yang mengurus pinjaman perumahan penjawat awam dengan lebih baik, murah dan tidak mengenakan caj insurans membebankan.

“Daripada memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin yang hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu, lebih baik LPPSA mempertimbangkan pemberian moratorium kepada penjawat awam,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan LPPSA hari ini telah memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin kepada pelanggan yang masih mempunyai akaun berstatus aktif.

Menurut LPPSA, program kerjasama antara agensi itu dengan panel insuransnya memberi pilihan kepada pelanggan untuk memiliki perlindungan tambahan selain perlindungan insurans yang diluluskan bersama-sama pembiayaan perumahan sektor awam sebelum ini.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI