fbpx

Neymar ketepikan soal persahabatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NEYMAR (tengah) memburu kejayaan pertamanya bersama pasukan kebangsaan selepas dia tidak tersenarai di dalam skuad ketika Brazil muncul juara pada 2019. – AFP

RIO DE JANEIRO – Bintang sensasi Brazil, Neymar terpaksa mengetepikan persahabatannya bersama Lionel Messi ketika pa­sukannya bakal berdepan Argentina pada perlawanan akhir Copa America 2021 pagi esok.

Brazil yang merupakan penyandang juara bakal berdepan La Albiceleste pada aksi yang berlangsung di Stadium Maracana ketika kedua-dua pemain itu memburu gelaran pertama bersama pasukan kebangsaan masing-masing.

Pada edisi 2019 lalu, skuad kendalian Tite itu muncul juara, namun Neymar tidak berada dalam skuad berkenaan kerana mengalami kecederaan, manakala Messi pula yang beraksi pada tiga aksi final sebelum ini masih belum bernasib baik untuk me­rangkulnya.

Saingan kali ini menyaksikan kedua-dua mereka menjadi nadi buat pasukan masing-masing di mana Neymar berjaya meledak dua gol dan tiga umpanan sementara Messi meledak empat gol dan lima umpanan gol.

“Saya sentiasa katakan bahawa Messi adalah seorang pemain terbaik yang pernah saya temui dan dia juga seorang rakan yang hebat.

“Tetapi, saya sedar di pentas final nanti kami terpaksa melupakan seketika persahabatan ini untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan. Saya benar-benar mahu memenangi kejohanan ini, ia adalah yang pertama untuk saya.

“Messi juga sudah lama mengintai gelaran bersama pasukan kebangsaannya, sudah bertahun-tahun dia berjuang untuk mendapatkannya. Setiap kali Brazil gagal ke final, saya sentiasa memberikannya sokongan apabila Argentina mara ke perlawanan akhir.

“Sekarang ini, ia sedikit berbeza apabila Brazil ke final untuk menentang mereka. Jadi, kami perlu korbankan seketika hubungan persahabatan ini tetapi rasa hormat sesama kamu masih ada walaupun hanya satu pasukan yang akan menang,” katanya.

Sementara itu, Neymar menyelar tindakan sesetengah penyokong Brazil yang ‘berpaling tadah’ menyokong Argentina untuk aksi final nanti.

“Saya adalah warganegara Brazil dan bangga untuk me­nyatakan perkara itu dengan rasa cinta kepada negara ini. Impian saya adalah untuk kekal beraksi bersama skuad kebangsaan Brazil dan mendengar sorakan peminat buat kami.

“Saya tidak akan menyokong mana-mana pasukan yang menentang Brazil dalam apa jua pertandingan tidak kira sama ada ia bola sepak atau apa-apa sukan lain sekali pun,” jelasnya.

Perlawanan akhir ini menyaksikan Brazil memburu gelaran Copa America ke-10 sementara Argentina pula mahu menamatkan penantian selama 28 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 1993.

Argentina berjaya merakam lima kemenangan berturut-turut dalam saingan kali ini sekali gus merekodkan 19 aksi tanpa kalah setakat ini manakala Brazil berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 13 aksi dan hanya bolos dua kali sepanjang kempen kali ini.
–AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI