LONDON – Bintang tenis Republik Czech, Karolina Pliskova berbangga dengan pencapaian dirinya apabila berjaya melangkah ke pentas final Wimbledon buat julung kali selepas menyingkirkan Aryna Sabalenka kelmarin.
Untuk rekod, Pliskova tidak pernah melepasi pusingan separuh akhir di Wimbledon, namun mempamerkan aksi cukup menarik apabila bangkit untuk menewaskan pemain pilihan kedua, Sabalenka dengan keputusan 5-7, 6-4, 6-4.
Kemenangan tersebut membolehkannya untuk memburu gelaran sulung Grand Slam dalam karier, namun dia perlu waspada apabila dijadual berdepan pemain No.1 dunia dari Australia, Ashleigh Barty.
“Saya benar-benar tidak terfikir mampu melangkah ke final di Wimbledon. Tetapi, jurulatih saya, Sascha Bajin meletakkan kepercayaan bahawa saya mampu melakukan terbaik untuk mara ke pentas final.
“Saya sangat berbangga dengan apa yang saya lakukan terutama ketinggalan pada set pertama dan mengawal situasi untuk meraih kemenangan pada set kedua dan ketiga. Saya rasa pencapaian ini sungguh luar biasa.
“Ini adalah final kedua saya di Grand Slam dan kali kedua saya akan berdepan pemain ranking No.1 dunia pada aksi final. Sudah tentu saya sangat teruja bila akan berdepan Barty. Saya pernah berdepan Barty dan kami mempunyai beberapa perlawanan yang baik. Tentu saja, saya kalah dalam pertembungan sebelum ini.
“Ini adalah pentas final, apa sahaja boleh berlaku dan saya tahu ini adalah final pertama Barty di Wimbledon, begitu juga saya. Jadi, pasti ia adalah saingan yang menarik dan mencabar untuk disaksikan,” katanya.
Aksi final Wimbledon adalah pentas akhir kedua Grand Slam buat pemain berusia 29 tahun itu selepas tewas kepada Angelique Kerber di Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2016. – AGENSI