SEBERANG PERAI – Seorang peniaga produk kesihatan dan pakaian kerugian wang hampir RM117,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket perjudian wang di media sosial baru-baru ini.
Mangsa, wanita berusia 39 tahun dikatakan mula terjerat dalam penipuan itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga China yang kononnya seorang pengurus di sebuah syarikat perjudian di Macau.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, sindiket itu menjalankan modus operandi dengan memperdaya mangsa untuk berjudi dengan pulangan tetap sebanyak 10 peratus dari setiap transaksi.
“Mangsa juga dijanjikan oleh suspek untuk bantu dia pasarkan produknya di China jika mangsa mahu bertaruh dalam perjudian yang dijalankan oleh syarikat itu.
“Mereka juga tidak pernah bersua muka dan hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, wanita itu yang terpedaya telah membuat beberapa transaksi ke dalam beberapa akaun tempatan yang keseluruhannya berjumlah RM116,734 sebelum menyedari dia sebenarnya ditipu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu Noorzainy berkata, orang ramai dinasihati agar tidak mudah percaya dengan sebarang aktiviti perjudian yang menggunakan konsep pelaburan yang dijalankan oleh mana-mana pihak kerana tiada jalan mudah untuk mendapatkan wang.
“Buatlah semakan akaun Mule sebelum membuat sebarang transaksi di laman web Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) di ccid.rmp.gov.my atau memuat turun aplikasi Semak Mule CCID bagi menyemak jika akaun terlibat dengan mana-mana kes penipuan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929