SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua pihak terlibat dalam memberikan sokongan kepada masyarakat yang hidup tertekan sehingga mengambil tindakan nekad membunuh diri.
Baginda bertitah, pimpinan masyarakat, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perlu tampil dengan idea serta cadangan untuk membantu dan menyokong masyarakat yang terkesan.
“Tidak dinafikan wabak Covid-19 adalah satu bentuk ujian Allah sehingga mencetuskan tekanan dan hilang pertimbangan iman.
“Oleh itu, ia mendorong keinginan untuk bunuh diri akibat berputus asa dengan rahmat Allah. Kita perlu berasa takut dengan ancaman terhadap tindakan bunuh diri seperti ditegaskan oleh Rasulullah SAW,” titahnya menerusi laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Baginda turut mengingatkan membunuh diri adalah perbuatan dosa besar yang dilarang oleh syarak dalam Islam.
Titah Sultan Sharafuddin, Allah melarang hambaNya daripada membunuh diri kerana diri mereka adalah milikNya, bukan milik mutlak diri mereka sendiri.
“Justeru, membunuh diri bermakna mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah kepadanya,” tegas baginda.
Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam di Selangor agar memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat mengenai bunuh diri yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh negeri ini.
“Beta berpandangan isi kandungan khutbah bertajuk tuntutan memelihara nyawa pada minggu ini adalah susulan peningkatan kes bunuh diri yang amat perlu diketengahkan untuk diambil sebagai pedoman dan pengajaran oleh umat Islam.
“Ia menggariskan bahawa membunuh diri adalah suatu perbuatan jenayah dan tindakan yang menyebabkan kematian kepada diri sendiri. Ini dilakukan dengan pelbagai cara sama ada dengan menggantung diri sendiri, meminum racun atau terjun dari tempat yang tinggi,” jelas baginda. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929