PETALING JAYA – “Tahun 2021 batal, kejutkan saya bila sudah tahun 2022.”
Itu antara luahan rasa kecewa pelakon dan pengacara, Janna Nick mengenai situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.
Tulis pengacara Melodi itu dalam InstaStorynya semalam, dia melahirkan rasa kecewa kerana jumlah kes positif tidak menunjukkan sebarang penurunan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan.
“PKP, PKPD. Kes di Selangor sudah meningkat dan kereta juga sudah penuh di atas jalan raya.
“Tak perlulah kemas kini jumlah kes harian lagi! Tak payah nak sekatan pergerakan seperti sekarang. Hidup sajalah dalam Covid-19 ini,” luah pemilik nama lengkap Nurul Jannah Muner, 26, itu.
Katanya, kesemua rancangan yang disusun tidak membantu dalam menangani penularan virus tersebut.
“Bukan membantu pun perancangan anda semua. Buang masa tahu? Duit boleh dicari tetapi masa yang terbuang ini macam mana nak dapatkan semula?” katanya lagi.
Tidak terhenti di situ, pelakon drama Leftenan Zana itu juga khuatir dengan nasib generasi muda kerana tidak mendapat pendidikan awal yang sempurna.
“Anak-anak kecil tidak mendapat pendidikan sempurna. Apa pula akan jadi dengan generasi akan datang?
“Bukan semua orang mampu hantar anak pergi sekolah di Perancis macam anda,” tulisnya.
Teman wanita kepada pelakon Dini Schatzmann itu juga turut membangkitkan isu pemilik bisnes yang terpaksa menanggung kerugian sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
“Apa cerita pula untuk pemilik bisnes? Gaji staf perlu dibayar. Anda ingat kami ini buta perut dan boleh tidur lena jika tidak bayar gaji mereka?
“Kalau kes turun walau satu peratus, rakyat masih boleh bersabar tetapi sekarang semakin naik. Berapa lama lagi hendak buang masa?,” luahnya lagi.
Dalam hantaran lain, Janna turut memuat naik sebuah video dia sedang menjerit bagi meredakan tekanan yang dihadapinya ketika ini.
Semalam, Malaysia mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 berjumlah 8,868 dan 135 kematian. – K! ONLINE