SKUAD pelayaran negara muncul kumpulan pertama kontinjen negara yang berlepas ke Tokyo, Jepun untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020 dari 23 Julai ini hingga 8 Ogos depan.
Pasukan yang terdiri daripada empat pelayar dan tiga jurulatih itu berlepas ke Tokyo dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH070 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Empat pelayar itu ialah Khairulnizam Mohd. Affendy yang akan beraksi dalam acara laser, Nur Shazrin Mohd. Latif (laser radial) dan pasangan Nuraisyah Jamil serta Juni Karimah Noor Jamali (International 470).
Bagi Aisyah, dia berharap dapat memberikan prestasi terbaik bersama Juni Karimah sekali gus membanggakan nama Malaysia di venue Pelabuhan Kapal Layar Enoshima nanti.
“Kami berlatih dan melakukan persediaan di kem latihan bertempat di Langkawi. Harapan peribadi mahu buat yang terbaik untuk negara walaupun ini penampilan pertama kami pada Olimpik,” katanya.
Kontinjen negara kali ini menghantar 30 atlet melibatkan 10 jenis sukan termasuk pelayaran bersaing pada Olimpik Tokyo 2020 antaranya dua pemanah, Khairul Anuar Mohamad dan Syaqiera Mashayikh.
Nama lain ialah Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga); Mohd. Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek); Jeremiah Loo Phay Xing, Faran Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik); Gavin Green, Kelly Tan (golf) dan Suryani Mohamed Taibi (menembak).
Turut bertanding adalah lapan pemain badminton diketuai pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee eng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).
Baki kontinjen negara ialah lima penerjun, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee yang dijangka menjadi kelompok kedua serta ketiga berlepas ke Tokyo pada 17 dan 25 Julai ini