PETALING JAYA – Durian yang dibeli melalui platform Shopee dilindungi oleh polisi Jaminan Shopee dan pengguna boleh membeli durian tanpa rasa bimbang.
Pengurus Kanan (Pemasaran) Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, polisi tersebut akan memastikan bahawa Shopee memegang pembayaran secara escrow sehingga pembeli memastikan barangan yang diterima adalah tulen dan berada dalam keadaan baik sebelum bayaran dilepaskan kepada penjual.
Menurutnya, proses pemulangan pembayaran kepada pengguna dapat dilakukan sepantas 15 minit setelah diluluskan jika bayaran dibuat menggunakan ShopeePay.
“Bagi menjayakan kempen ini, kami telah mendigitalkan seramai 211 penjual durian dan telah membantu mereka membuat persediaan menjelang kempen Durian e-Fiesta.
“Kami memahami bahawa sejak kebelakangan ini terdapat banyak kes penipuan berkaitan durian di media sosial.
“Sehubungan itu, melalui kempen bersama FAMA ini, ia akan dapat membantu mengatasi segala kerisauan pelanggan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Kempen Durian e-Fiesta bagi tahun kedua akan berlangsung dari 10 hingga 31 Julai ini sebagai usaha syarikat menormalisasikan penjualan dan pembelian barangan pertanian secara online ekoran penularan pandemik.
Kempen ini bakal menawarkan baucar diskaun menarik hingga 50 peratus, diskaun RM15 dengan pembelanjaan minimum RM60 serta diskaun RM30 dengan pembelanjaan minimum RM100 yang boleh dituntut menerusi laman mikro eFAMAPLACE.
Selain itu, eFAMAPLACE di Shopee juga akan mengadakan Jualan Kilat Shocking Sale setiap hari dari 4 hingga 31 Julai ini dengan menyaksikan durian musang king, D24 dan durian kampung dijual daripada harga serendah 77 sen pada pukul 12 tengah malam setiap hari dalam kuantiti terhad.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, kerjasama dengan Shopee untuk menawarkan baucar yang boleh dituntut dan digunakan akan memanfaatkan para penjual dan juga pengguna.
“Berdasarkan rekod kempen bersama sebelum ini, kerjasama antara FAMA dan Shopee akan mencatatkan peningkatan pulangan pelaburan sehingga lapan kali ganda,” jelas beliau.