fbpx

Tolong fokus kes Covid-19 makin tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMIMPIN politik disaran menumpukan usaha memulihkan ekonomi yang terjejas ekoran pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Rakyat menggesa kemelut politik yang me­landa negara segera berakhir dan pemimpin memberi tumpuan penuh kepada masalah utama iaitu memerangi Covid-19 yang semakin meruncing.

Pergolakan politik ketika ini ternyata membuat rakyat muak dan menganggap fokus utama kepimpinan telah beralih kepada kepentingan parti semata-mata berbanding penderitaan mereka.

Mereka mahu angka positif hampir 9,000 kes yang dicatatkan semalam turun selain ekonomi pulih kembali selepas ramai terjejas termasuk kehilangan pendapatan.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan, UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendesaknya supaya berundur.

Seorang netizen yang mahu dikenali Norshafikah berkata, kerajaan mahupun pembangkang ketika ini sepatutnya mengembeleng usaha membantu rakyat dan segera memulihkan penularan wabak Covid-19 yang semakin tidak terkawal.

“Sepatutnya dalam keadaan begini baik pihak kerajaan mahupun pembangkang lupakan dulu perbalahan dan ketidaksefahaman serta ideologi.

“Sama-sama bantu rakyat, pulihkan keadaan negara. Bukan dalam keadaan sekarang fikir politik dan kepentingan sendiri sahaja. Ambil kesempatan atas kesempitan, saling menjatuhkan supaya boleh berkuasa,” katanya.

Perkara sama turut dipersetujui Azmi Alifalia yang menyifatkan keadaan politik ketika ini membuat rakyat semakin muak.

“Meluat hari-hari kisah pe­mimpin bercakaran, hendak merebut pangkat dan jawatan demi kepentingan peribadi.

“Masalah penduduk di bawah naungan langsung tidak diambil peduli, lebih baik tak payah undi dan pilih pemimpin seperti ini,” kata Azmi Alifalia.

Sementara itu, Ruzil Dzul pula menggesa agar kerajaan atau pembangkang tidak menggunakan alasan hendak membantu rakyat dalam pergolakan politik yang dicipta mereka ketika ini.

“Demi rakyat? Kalau demi rakyat tak perlu berlarutan rebut-merebut kuasa ini, selesaikan Covid-19 dahulu, apabila sudah aman barulah bercerita bab lain,” ujarnya.

Sementara itu, Nyna Radzuan turut mencadangkan supaya ahli-ahli UMNO yang mahu berpolitik ketika ini untuk turun padang membantu petugas barisan hadapan menangani penularan wabak yang meruncing ketika ini.

“Masa Covid-19 sedang menggila ini, lebih baik Pemuda, Puteri jadi sukarelawan bantu petugas kesihatan. Ada juga manfaatnya, kata mahu berkhidmat untuk rakyat,” jelasnya lagi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI