PATTAYA, THAILAND – Gara-gara menolak godaan seorang pekerja seks untuk melakukan hubungan intim, seorang pelancong dari Jerman mengalami kerugian berjumlah 15,000 baht (RM1,931), lapor laman berita Thaiger hari ini.
Dalam aduannya kepada polis, Thomas Hatesaul, 68, berkata, ketika kejadian dia sedang bersiar-siar di sebatang jalan di Pattaya sebelum dihampiri seorang wanita yang dipercayainya adalah pekerja seks.
Wanita berpakaian seksi itu menghampiri Hatesaul secara agresif dan memeluknya sambil menawarkan perkhidmatan hubungan intim untuk sejumlah bayaran yang tidak didedahkan.
Lelaki itu bagaimanapun menolak pelawaan wanita terbabit, lantas berlalu pergi. Dia kemudian menyedari wang di dalam poketnya berjumlah 15,000 baht (RM1,931) telah hilang.
Buat masa ini, polis sedang meneliti rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mengesan suspek.
Kes tersebut disifatkan polis sebagai kes penting memandangkan insiden seperti itu mampu merosakkan imej Pattaya sebagai sebuah bandar yang menjadi tarikan pelancong luar negara. – AGENSI