Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
SEREMBAN – Seorang isteri layak digelar ‘wanita besi’ apabila sanggup mengambil upah mengecat bas bagi meneruskan kehidupan selepas suaminya terlantar sakit sejak setahun lalu.
Kasni Kibu, 46, terpaksa mengambil alih tugas suaminya, Aripuddin Marzuki, 57, yang mengusahakan bengkel mengecat bas walaupun banyak kali dipermainkan pelanggan termasuk ditipu dan tidak diberi upah.
Dibantu adik perempuannya, Kasni menggagahkan diri melakukan tugas-tugas memanjat dan mengecat bas yang dihantar pelanggan demi meneruskan kehidupan dan menyara suaminya yang menghidap sakit misteri.
“Minat itu datang ketika saya membantu suami di bengkel untuk melakukan kerja mengecat bas. Apabila keadaan kesihatan suami semakin merosot, semua kerja saya lakukan sendiri sambil dibantu adik perempuan.
“Berbekalkan pengalaman membantu suami di bengkel, saya kini cekap memanjat, membancuh cat dan mengecat bas yang dihantar pelanggan,” katanya ketika ditemui di Jalan Kayu Ara, Mambau dekat sini baru-baru ini.
Tambahnya, dengan tenaga kerja yang terhad, dia hanya mampu menerima dua buah bas untuk dicat sebulan dengan kadar RM3,000 bergantung kepada warna dan corak yang dikehendaki pelanggan.
Menurut Kasni, ketika bekerja dengan suaminya, mereka mampu mengecat sebuah bas dalam tempoh seminggu atau sembilan hari sahaja.
“Ada yang kata mengecat kerja mudah tetapi tenaga wanita tidak sama dengan lelaki. Setakat ini pelanggan berpuas hati dengan kerja saya,” katanya.
Namun begitu, menurut Kasni, dia hampir berputus asa dan kecewa kerana ada sebilangan pelanggan mengambil kesempatan dengan lewat membayar upah, malah ada yang terus mengambil bas tanpa membayar sesen pun.
“Situasi seperti ini membuatkan saya hampir putus asa tetapi saya kuatkan semangat demi kelangsungan hidup menyara suami yang sakit,” jelasnya.