IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melaksanakan proses pengeluaran permit penjaja sementara (PPS) secara pandu lalu sekali gus memudahkan kelompok peniaga ini berniaga secara sah bermula hari ini.
Kaedah ini juga bukan sahaja cepat dan efisien tetapi bersesuaian dengan situasi norma baharu ketika ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini menjadikan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang melaksanakan pengeluaran PPS secara sedemikian.
Menurut beliau, proses pengeluaran permit tersebut diadakan di Persiaran ICC Bandaraya 2 pada setiap Khamis bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
“Para pemohon dikenakan bayaran sebanyak RM10 bagi setiap permit dan akan mendapat kelulusan serta-merta secara proses pandu lalu.
“Matlamat MBI adalah untuk memudahkan urusan warga bandar ini iaitu kelompok penjaja kecil tambahan pula dalam situasi sukar ketika ini,” ujarnya.
Bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar, seramai 24 pegawai dan anggota Unit Pengurusan Penjaja, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI selaku urusetia terlibat dalam pengeluaran permit tersebut. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929