BENTONG – Polis Pahang mengagihkan sebanyak 220 bakul makanan kepada keluarga memerlukan sepanjang dua hari pelaksanaan Program Op Bantu yang dilancarkan semalam.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, agihan bakul makanan berkenaan melibatkan 11 Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) dan 64 buah balai polis di seluruh negeri.
“Pihak polis dengan kerjasama pelbagai pihak akan terus mengesan dan menghulurkan bantuan kepada mana-mana individu atau keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Saya berharap mana-mana pihak dan orang ramai yang menerima maklumat mengenai mereka yang memerlukan bantuan dapat memaklumkan kepada pihak polis agar bantuan dapat dilakukan segera,”katanya di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar dan Timbalan Ketua Polis Bentong, Deputi Superintendan Mohd. Shahril Abdul Rahman.
Menurut Mohd. Yusri, bakul makanan berupa barangan keperluan seperti beras, minyak masak, gula, sardin dan mihun itu disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, bakul makanan berkenaan merupakan sebahagian usaha polis dalam membantu mereka yang terjejas dan terputus bekalan makanan akibat pandemik Covid-19 akibat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. -K! ONLINE