GEORGE TOWN – Lebih 4,000 pekerja industri perhotelan di negeri ini memohon kerajaan mempercepat proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pekerja hotel dan penggiat pelancongan untuk kembali beroperasi dalam kadar segera.
Pengurus Besar Hotel Royal, Amran Taib berkata, sektor pelancongan dan perhotelan dijangka dapat dibuka pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun pekerja hotel termasuk di Pulau Pinang masih tidak diberi vaksin Covid-19.
Katanya, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan MAH Pulau Pinang telah berulang kali memohon pertimbangan kerajaan serta menghantar surat agar pekerja hotel dapat diberikan keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.
“Hampir dua tahun pekerja industri perhotelan berkorban, ada yang dipotong gaji, ada yang tak dapat gaji langsung dan pelbagai lagi terpaksa kami hadapi ekoran pandemik ini.
“Kami mohon agar kerajaan bantu kami dengan percepatkan pemberian vaksin kepada pekerja hotel termasuk lebih 4,000 di Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Hotel Berjaya Pulau Pinang, Tan Yew Jin berkata, pekerja industri serta pemilik hotel menghargai segala bentuk bantuan yang diberikan kerajaan, namun vaksin Covid-19 adalah satu keperluan penting untuk pekerja hotel pada masa ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929