KLANG – Taktik menyeludup 27,500 liter air zam-zam diikarkan sebagai jus gagal apabila dirampas pihak berkuasa di Pelabuhan Barat, baru-baru ini.
Dalam operasi dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) pukul 12 tengahari pada 2 Jun lalu itu mendapati nilai air zam-zam dianggarkan RM206,250.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan itu hasil maklumat awam dan risikan pihaknya terhadap aktiviti pengimportan air zam-zam dari Arab Saudi dengan barangan tersebut disimpan dalam kontena yang telah tiba sejak 29 Mei lalu di pelabuhan itu.
“Modus operandi mereka adalah membuat ikrar palsu dengan menyatakan sebagai jus dan air minuman di dalam daftar masuk.
“Hasil siasatan mendapati kesemua air zam zam yang disita adalah diimport dari Arab Saudi tanpa permit import yang sah serta membayar cukai dan duti keatasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nilai cukai terhadap air zam-zam adalah kira-kira RM66,000.
Beliau menjelaskan air zam zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Ujar Zazuli, perbuatan mengimport air zam zam tanpa permit Import merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929