PETALING JAYA – Kedudukan kerajaan sedia ada tidak goyah walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri (PM).
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sekarang sudah ada yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudahpun dilantik sebagai TPM. Kalau Muhyiddin turun pun sudah ada TPM yang boleh ambil alih.
“Sebelum ini ada menteri-menteri kanan. Mereka akan bergaduh sesama mereka kerana tidak tahu siapa yang sebenarnya dipercayai oleh PM untuk membantunya.
“Sekarang sudah jelas. Ismail Sabri boleh jadi PM sementara. Kerajaan tidak goyang (goyah),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau bagaimanapun mengingatkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO masih perlu mendapatkan restu parti untuk menjadi PM sementara. – K! ONLINE