SEKALI imbas resort terletak kira-kira 45 minit dari Bandar Raya Melaka itu tidak ubah seperti sebuah tempat penginapan popular yang terdapat di Santorini, Greece.
Santorini merupakan gugusan pulau gunung berapi di Laut Aegean iaitu kirakira 200 kilometer dari Athens.
Tempat penginapan dikenali sebagai The Amanjena Resort (AmanjenaResort) itu memiliki reka bentuk luaran hampir sama dengan hotel yangterdapat di Santorini.
Persamaan paling ketara antara Amanjena Resort dan Santorini terletakpada seni binaan serta warna luarannya iaitu putih sebagai rona asas sambil diselang-seli biru royal.
Tambah menarik, Amanjena Resort terletak di tepi pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah yang menghadap Selat Melaka, sekali gus menjadikan panoramanya menjadi lebih indah dan menarik.
Jadi, tidak hairanlah sekiranya para pengunjung menggelarkan Amanjena Resort dengan jolokan Santorini Pengkalan Balak memandangkan keduaduanya mempunyai banyak persamaan.
Pemiliknya, Nurdiana Abdul Rahim berkata, Amanjena Resort yang direka menyerupai Santorini menawarkan tempat penginapan dalam suasana mewah pada harga berpatutan.
“Rata-rata pengunjung yang datang ke sini tertarik dengan struktur bangunan putih ini yang seakan-akan tempat penginapan yang terletak di kawasan Mediterranean iaitu Santorini. Ia direka oleh kakak saya yang merupakan seorang arkitek.
Jika diamati betul-betul, terdapat beberapa perbezaan antara resort ini dan Santorini terutamanya pada
bahagian bumbungnya kerana tidak mempunyai kubah biru,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.
Mula dibuka pada Ogos tahun lalu, Amanjena Resort sentiasa menjadi pilihan pengunjung yang berhajat
menghabiskan masa dengan insan tersayang di pantai Pengkalan Balak.
Buktinya, semua bilik di Amanjena Resort habis ditempah dalam tempoh dua minggu selepas ia dibuka pada tahun lalu iaitu apabila berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Para pelawat juga berpeluang melakukan aktiviti mandi-manda atau bersantai di tepi pantai Pengkalan Balak dengan jarak pemanduan kurang dari lima minit.
Menurut Nurdiana, Amanjena Resort menawarkan 10 bilik penginapan yang berbeza mengikut kemudahan katil, pemandangan serta kolam mandi.
Jelasnya, terdapat tiga jenis bilik yang sering menjadi pilihan pelawat di Amanjena Resort iaitu Sea View Deluxe King, Double Deluxe dan Pool View Junior Suite.
“Sea View Deluxe King boleh memuatkan tiga orang dewasa pada satu-satu masa. Bilik ini mempunyai
pemandangan laut serta balkoni untuk pengunjung melepak pada waktu petang dan malam.
“Pool View Junior Suite pula dilengkapi dengan ruang tamu dan ruang makan yang sesuai kepada
pelawat secara berkumpulan iaitu kurang lapan orang pada satu-satu masa.
“Semua bilik dilengkapi dengan kemudahan televisyen, bar mini, bilik mandi, pendingin hawa, pengering
rambut dan tempat menggosok pakaian,” katanya.
Amanjena Resort turut dilengkapi kemudahan seperti kolam mandi, bilik mesyuarat dan acara, bilik bebas rokok serta jaringan WiFi percuma.
Pengunjung juga boleh melakukan tempahan aktiviti tepi pantai dengan pihak pengurusan resort seperti banana boat dan perjalanan bot melihatvmatahari terbenam.
Dia turut memaklumkan, Amanjena Resort juga menjadi pilihan pelawat yang suka bergambar bagi
mengabadikan kenangan bersama insan tersayang sebelum dimuat naik ke laman media sosial.
“Rata-rata pengunjung kami tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar di resort ini.
“Kami mempunyai beberapa lokasi menarik bagi membolehkan gambar anda kelihatan seperti di luar negara,” jelasnya.
Buat masa ini, Amanjena Resort masih ditutup ekoran kerajaanmelaksanakan PKP 3.0.
Bagaimanapun, tempahan awal masih boleh dibuat oleh pelanggan menerusi laman web Amanjena Resort atau melalui panggilan telefon.