fbpx

5 tip pemilihan pakaian senaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PILIH fabrik yang sesuai dengan keadaan cuaca ketika bersenam agar ia memberi keselesaan dan memudahkan pergerakan.

BERSENAM merupakan aktiviti riadah yang sangat popular pada masa kini. Ia bukan sahaja menjadikan badan lebih sihat serta cergas, tetapi pada masa sama membuatkan perasaan lebih tenang.

Bersenam boleh dilakukan di mana-mana sahaja mengikut kesukaan serta keadaan masing-masing sama ada di dalam atau di luar rumah.

Justeru, bagi memastikan aktiviti sihat itu dapat dilakukan dengan baik, pemilihan pakaian yang sesuai
dari hujung rambut hingga hujung kaki sangat penting supaya aktiviti tersebut dapat berjalan dengan baik dan selesa.

Oleh itu, kita harus menyediakan pakaian lengkap khusus untuk aktiviti senaman supaya lebih teruja
dan bersemangat meneruskan rutin sihat tersebut.

Jika mahu mendapat manfaat terbaik daripada aktiviti berkenaan, jangan berkira untuk mengeluarkan
sejumlah wang bagi membeli baju, kasut dan peralatan sukan lain.

Lakukan juga ulang kaji mengenai pemakaian sukan bersesuaian kerana keperluan setiap orang tidak
sama.

Sehubungan itu, Horizon mencadangkan tip pemilihan pakaian yang sesuai untuk aktiviti senaman dan kecergasan yang boleh anda cuba.

1. Pemilihan fabrik

Sekiranya ingin melakukan aktiviti tersebut di kawasan terbuka, elakkan memilih baju berona gelap kerana ia menyerap haba.

Begitu juga perlu memilih jenis fabrik yang bertepatan untuk cuaca dan lokasi supaya anda berasa lebih selesa sehingga tamat aktiviti tersebut.

Sebagai contoh, pilih fabrik yang tebal sekiranya bersenam ketika cuaca sejuk dan pakai baju berasaskan material kapas jika mahu beraktiviti di dalam rumah atau ruang tertutup.

Secara umumnya, pakaian yang menggunakan fabrik poliester atau mikrofiber adalah terbaik kerana ia
cepat kering dan selesa untuk aktiviti sukan.

2. Keselesaan

Di samping pemilihan material, pastikan reka bentuk pakaian itu selesa dengan poket-poket tersedia untuk menyimpan kunci dan barangan peribadi lain.

Pastikan juga baju atau seluar itu tidak terlalu ketat atau besar agar anda berasa selesa ketika hendak melakukan pergerakan.

Jika terlalu ketat, dikhuatiri akan menyebabkan ia bergesel dengan kulit, cepat terkoyak dan menyekat pengaliran darah.

 

BANYAK pilihan tudung khusus untuk aktiviti kecergasan yang
dijual di pasaran pada masa kini.

3. Hijab

Tidak perlu risau memakai hijab ketika bersenam kerana sekarang terdapat banyak pilihan rekaan tudung khas untuk wanita melakukan aktiviti kecergasan dengan fabrik yang sangat selesa.

Jenis hijab yang sesuai untuk aktiviti sukan mestilah mudah dipakai dan tidak memberi kesan panas di bahagian kepala.

Tudung sarung dengan fabrik likra dan mikrofiber adalah pilihan yang terbaik untuk dipakai ketika melakukan aktiviti kecergasan dalam keadaan berpeluh.

4. Bra sukan

Bra sukan merupakan item yang sangat penting untuk dipakai oleh wanita ketika bersukan mahupun bersenam.

Ia memberikan anda keselesaan dan keyakinan ketika melakukan aktiviti tersebut di samping dapat menyokong bahagian dada.

Terdapat pelbagai jenama yang menawarkan bra sukan di pasaran dan anda bebas untuk memilih mengikut kesukaan serta keselesaan masing-masing.

BERSENAM dan berlari perlu menggunakan kasut khusus untuk aktiviti tersebut bagi mengelakkan kaki tercedera.

5. Kasut

Ramai orang salah anggap tentang kasut kerana mereka berpendapat, sepasang kasut boleh dipakai untuk pelbagai aktiviti kecergasan.

Sebagai contoh, kasut mendaki tidak boleh dipakai untuk aktiviti larian kerana ia sangat berat.

Sepatutnya anda menggunakan kasut berbeza untuk aktiviti kecergasan berlainan bagi memaksimumkan penggunaannya dan mengelakkan daripada tercedera pada kaki.

Pastikan juga kasut mempunyai daya cengkaman yang baik supaya tidak tergelincir di permukaan jalan licin.

Jangan diabaikan juga pemakaian stoking bagi melindungi kaki daripada melecet.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI