PETALING JAYA – Affin Bank Bhd. (Affin Bank ) akan mempercepatkan proses permohonan moratorium di bawah pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dihantar oleh pelanggan bermula semalam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, pihaknya juga akan memberi maklumat lanjut kepada pelanggan dalam lima hari bagi pelanggan individu dan 14 hari untuk pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Bagi moratorium yang ditawarkan ini, pelanggan boleh menjangkakan proses permohonan yang cepat dan mudah di mana mereka tidak perlu memberikan dokumen sokongan.
“Pihak kami memahami betapa pentingnya moratorium ini bagi pelanggan yang terjejas akibat keadaan pandemik Covid-19.
“Sehubungan itu, kami akan mempercepatkan proses permohonan mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Wan Razly menerangkan, pihaknya mengalu-alukan pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan membuat permohonan moratorium selama enam bulan bagi membantu mengurangkan kesan daripada pandemik.
Pelanggan daripada kategori individu/runcit (B40, M40 dan T20), perusahaan mikro dan PKS juga boleh membuat permohonan untuk penangguhan pembayaran ansuran bagi semua kemudahan kredit dengan bank kecuali kad kredit untuk jangka masa enam bulan.
“Pelanggan yang layak akan diberikan kelulusan automatik bagi permohonan mereka dan mereka tidak perlu bimbang tentang implikasi pada profil kredit pada masa hadapan kerana rekod kredit tidak akan terjejas.
“Permohonan moratorium ini tidak akan memberi kesan negatif terhadap laporan kredit pelanggan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” katanya.
Tambah beliau, Affin Bank juga mengambil pelbagai langkah keselamatan untuk melindungi maklumat peribadi pelanggan dan tidak akan melantik atau membabitkan pihak ketiga atau ejen untuk moratorium itu.