PORT-AU-PRINCE – Suspek-suspek pembunuh Presiden Haiti, Jovenel Moise ditahan semalam, kata seorang menteri kerajaan, kurang 24 jam selepas pemimpin negara rantau Caribbean yang miskin itu terbunuh dalam serangan bersenjata di rumahnya.
“Suspek-suspek pembunuh Moise dipintas Polis Nasional di Pelerin sejurus sebelum pukul 6 petang (waktu tempatan) semalam,” kata Timbalan Menteri Komunikasi Frantz Exantus.
Menurutnya, serangan itu berlaku sekitar pukul 1 pagi. Joseph berkata, Presiden itu dibunuh di rumahnya oleh orang asing yang bertutur dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol.
Isteri Moise, Martine pula cedera dan dirawat di sebuah hospital tempatan sebelum dipindahkan menggunakan ambulans udara ke Pusat Trauma Ryder di Miami.
Terdahulu, Duta Haiti ke Washington, Bocchit Edmond memberitahu wartawan bahawa pembunuh-pembunuh itu merupakan askar upahan profesional yang menyamar sebagai ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat dan mungkin telah meninggalkan negara itu.
“Kami mempunyai rakaman video dan kami percaya mereka ialah tentera upahan,” tambahnya.
Moise memerintah Haiti melalui dekri selepas pilihan raya legislatif yang dijadualkan pada tahun 2018, ditunda berikutan perselisihan termasuk isu bila tempoh pemerintahan beliau akan berakhir.
Serangan di kediaman peribadi Moise di Port-au-Prince itu menyebabkan Haiti berada dalam situasi tidak menentu dengan rakyat bimbang, manakala pemimpin dunia meminta semua pihak untuk bertenang.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai Haiti tengah hari ini.
Negara itu ini ditadbir oleh pemangku Perdana Menteri, Claude Joseph yang sepatutnya diganti minggu ini. – AFP