fbpx

England pahat sejarah mara ke final Euro 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain England meraikan jaringan kemenangan Harry Kane ketika menewaskan Denmark 2-1 di Stadium Wembley sebentar tadi. - AFP

LONDON – England melakar sejarah tersendiri apabila melangkah ke perlawanan akhir Euro 2020 buat kali pertama selepas menewaskan Denmark 2-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Wembley sebentar tadi.

Gol kemenangan menerusi penyerang, Harry Kane pada masa tambahan memastikan Three Lions akan membuat perhitungan dengan Itali pada aksi final yang dijadualkan berlangsung 12 Julai ini.

Pada perlawanan tadi, England tidak menunggu lama apabila terus melancarkan serangan sebaik wisel permulaan ditiup dan sering mengancam benteng pertahanan Denmark menerusi gandingan Raheem Sterling dan Luke Shaw di bahagian kiri.

Pada 15 minit pertama permainan, skuad kendalian Gareth Southgate itu beberapa kali menguji pintu gol Denmark, namun diselamatkan penjaga gawang, Kasper Schmeichel.

England yang beraksi di laman sendiri bagaimanapun tersentak apabila ketinggalan 0-1 pada minit ke-30 selepas sepakan percuma daripada Mikkel Damsgaard berjaya menewaskan penjaga gol, Jordan Pickford.

Gol tersebut nyata membuatkan skuad Three Lions cemas, seterusnya meningkatkan serangan dan ia membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri Simon Kjaer pada minit ke-39.

Bersambung separuh masa kedua, tempo permainan dilihat sedikit kendur apabila England dan Denmark masing-masing menampilkan aksi lebih berjaga-jaga.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan sesekali menguji kubu pertahanan masing-masing tetapi masih gagal untuk mendapatkan gol kedua yang dinanti-nantikan.

Walaupun permainan kembali rancak pada 10 minit terakhir, namun keputusan 1-1 kekal hingga tamat, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

England yang mendapat sokongan padu penyokong setia melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gol Denmark menerusi Kane, Sterling dan Jack Grealish.

Kane kemudiannya menjadi wira Three Lions apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan pada minit ke-104 apabila menendang masuk bola muntah selepas sepakan penaltinya diselamatkan Schmiechel.

Sedar masa semakin suntuk, Denmark terus meningkatkan tempo permainan bagi memburu gol penyamaan, bagaimanapun kedudukan 2-1 kekal hingga tamat permainan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI