fbpx

Colombia tidak bernasib baik tewas melalui penentuan penalti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN Colombia kelihatan kecewa selepas tewas 2-3 kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir di Stadium Mane Garrincha semalam. - AFP

BRASILIA – Hasrat Colombia untuk melangkah ke perlawanan akhir Copa America 2021 musnah apabila tewas 2-3 kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir di Stadium Mane Garrincha semalam.

Perlawanan tersebut terpaksa diheret ke aksi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi jaringan yang dilakukan Lautaro Martinez (Argentina) dan Luis Diaz (Colombia).

Ketua jurulatih Los Cafe­teros, Reinaldo Rueda percaya skuadnya tidak bernasib baik apabila ditunjukkan jalan keluar di pentas separuh akhir kerana beliau menganggap Colombia menampilkan aksi lebih baik.

Meskipun kecewa dengan kekalahan itu, namun beliau percaya skuad sedia ada berada di landasan terbaik dalam ­usahanya membentuk satu pa­sukan berkualiti menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Prestasi kami pada saingan kali ini boleh dikatakan sangat baik. Walaupun tewas tetapi saya sangat gembira kerana semua pemain menunjukkan perkembangan positif dari segi permainan.

“Pemain-pemain tidak boleh terlalu kecewa kerana mereka sudah berikan segala-galanya pada perlawanan ini, cuma tuah tidak menyebelahi kami kali ini,” kata Rueda.

Dalam pada itu, beliau juga memuji barisan pemainnya apabila dapat memberikan tentangan cukup sengit biarpun berdepan Argentina yang dilim­pahi pemain-pemain bintang.

“Kejohanan ini sangat kompetitif, jadi ia menjadi medan terbaik untuk saya menilai kemampuan pemain. Banyak pengajaran yang kami dapat daripada saingan kali ini,” ujarnya.

Sementara itu, Diaz menggesa rakan-rakan sepasukan supaya tidak bersedih terlalu lama memandangkan mereka ada tugas lebih penting selepas ini bagi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 nanti.

“Saya tahu semua pemain masih sedih dan kecewa dengan kekalahan ini, namun mereka tidak boleh lupa kerana kami masih ada tugas lain yang perlu diselesaikan. Sekarang kami perlu lupakan kekalahan ini dan terus maju ke depan,” tegas Diaz. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI