BANGKOK – Wakil Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan keputusan positif apabila berjaya mengikat pasukan tuan rumah, Ratchaburi FC 0-0 pada aksi terakhir Kumpulan G sebentar tadi.
Pada saingan yang berlangsung di Stadium Rajamangala itu, skuad JDT yang dibimbing oleh Benjamin Mora terlebih dahulu memiliki peluang keemasan pada awal saingan tetapi gagal disudahkan oleh pemain tengah, Safiq Rahim.
Penyerang import sensasi, Leandro Velazquez turut mempunyai peluang tetapi tandukan yang dilakukan pada minit ke-20 berjaya ditangkap oleh penjaga gol pasukan lawan, Kampol Pathomakkakul.
Jentera serangan Ratchaburi yang diketuai oleh Steeven Langil turut melakukan beberapa percubaan bahaya ke gawang JDT tetapi rembatan pada minit ke-32 mudah diselamatkan oleh penjaga gol, Farizal Marlias.
Bersambung pada babak kedua, Farizal sekali lagi bertindak cemerlang apabila gerakan cantik yang dilakukan oleh Langil sebelum melakukan rembatan berjaya dipatahkan pada minit ke-49.
Tersentak dengan itu, Mora memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid untuk digantikan dengan Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah.
Keputusan itu membolehkan JDT kembali menguasai perlawanan sebelum berjaya memecah kebuntuan hasil ledakan penyerang utama, Bergson da Silva pada minit ke-70.
Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil kerana Da Silva menahan bola menggunakan tangan sebelum melakukan rembatan dan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan JDT kekal menduduki tangga ketiga Kumpulan G selepas mengutip empat mata daripada enam perlawanan manakala Ratchaburi kekal di kedudukan tercorot dengan hanya satu mata.
Sementara itu, kelab Jepun, Nagoya Grampus mencatat keputusan seri 1-1 pada aksi terakhir bertemu wakil Korea Selatan, Pohang Steelers sekali gus menamatkan saingan dengan kedudukan teratas Kumpulan G. – K! ONLINE