GUA MUSANG – Seorang lelaki Orang Asli yang cedera selepas diserang seekor harimau belang di kebunnya di Kampung Badak, Pos Bihai di sini pada Isnin lalu masih trauma dengan kejadian tersebut.
Anak mangsa, Kenwak Adin, 25, berkata, bapanya, Adin Andok, 48, masih teringat kejadian bergelut dengan haiwan buas itu selama 15 minit sebelum ditemui orang kampung dalam keadaan berlumuran darah.
Katanya, dia sempat berjumpa dengan bapanya sebelum lelaki itu menjalani pembedahan mata di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Selasa lalu.
“Dia masih mengingati detik diterkam pak belang. Saya nampak bapa seperti masih takut dan trauma dengan kejadian tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Kenwak, bapanya memaklumkan dia tidak menyangka akan terselamat kerana badannya sudah lemah selepas bergelut selama 15 minit.
Jelasnya, bapanya kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di unit rawatan rapi HSIP.
Adin dijadualkan menjalani pembedahan mata dan menerima kira-kira 30 jahitan di muka, kepala serta lengan akibat dicakar binatang tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, usaha memasang perangkap, kamera memantau dan nasihat akan dilakukan bagi menjamin keselamatan penduduk.
“Pihak Perhilitan akan membantu mangsa mendapatkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Perhilitan turut menasihatkan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut supaya tidak ke kebun bersendirian bagi mengelak kejadian sama berulang:
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki Orang Asli terpaksa bertarung selama 15 minit dengan harimau belang ketika berada di kebunnya di Kampung Badak, Pos Bihai pada pukul 3 petang.
Lokasi kejadian terletak kira-kira 500 meter dari rumah mangsa. Harimau belang itu menerkam kepala mangsa dan mencakar badannya sebelum meninggalkan lelaki itu selepas bergelut selama 15 minit.