fbpx

Bendera putih serlah derita sebenar rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

KALAU ditanya daripada skala satu hingga 10, sejauh mana anda terkesan dengan kempen bendera putih, berapa jawapan kalian? Rasanya tidak akan ada jawapan spesifik, penilaian setiap orang berbeza.

Pastinya, terjemahan kita terhadap kempen itu berbeza untuk setiap orang, ada menitiskan air mata dan ada juga bersimpati serta mahu menghulurkan bantuan.

Bagi yang mempunyai gaji bulanan ketika situasi getir ini, keadaannya mungkin berbeza berbanding mereka yang tiada pendapatan hingga hidup ibarat telur dihujung tanduk.

Secara konsepnya, kempen bendera putih bukanlah simbolik perbuatan menyerah kalah seperti maksud peribahasa Melayu, sebaliknya ia membongkar ceritera derita rakyat.

Jika tiada kempen itu, mungkin kita tidak tahu jiran sebelah rumah sedang sengsara atau rakan sekerja tiada makanan buat anaknya,semuanya kini terbongkar.

Melihat kepada gambar dikongsikan orang ramai di laman media sosial, banyak juga rakyat kita sengsara sebenarnya kesan daripada Covid-19, ingatkan biasa-biasa sahaja tetapi lebih daripada luar biasa derita mereka.

Pun begitu, kempen bendera putih yang membawa maksud murni turut membuatkan sesetengah pihak berasa kurang senang seterusnya menjadikannya sebagai satu polemik untuk agenda tertentu.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Malaysia, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh me­minta semua pihak untuk memfokuskan kepada bentuk bantuan dan bukannya menjadikan kempen itu sebuah polemik.

“Semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan mereka yang berkemampuan diminta untuk membantu mereka yang memerlukan termasuk individu menaikkan bendera putih.

“Jangan jadikan kempen ini satu polemik, daripada kita cari titik perbezaan adalah lebih baik pada masa yang genting ini, kita sepakat salurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi

Mohamad berkata, kempen itu merupakan satu bentuk pengecaman masalah komuniti yang dilakukan secara manual.

“Tujuannya bagi menghantar mesej kepada ahli komuniti setempat akan keperluan mendesak mendapatkan bantuan kebajikan di mana masyarakat bertindak sebagai mata dan te­linga kepada kesusahan rakyat.

“Namun, apa yang penting dalam kempen itu ialah konsep kekitaan dan kebersamaan dalam menolong orang lain selain dilakukan dengan cara yang berhemah dan beretika,” katanya.

Jelasnya, pemberi bantuan juga perlu menghormati hak dan privasi individu dalam kesusahan selain memastikan harga diri mereka terjamin.

“Bagi penerima bantuan pula, jangan ambil kesempatan ke atas keprihatinan masyarakat setempat dan hendaklah bertindak dengan ikhlas agar tidak memanipulasi sesiapa.

“Saya juga berharap semoga semangat membantu dalam kempen bendera putih terus mengajar kita erti kesusahan dan sentiasa memberikan pertolo­ngan kepada mereka yang tidak bernasib baik,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI