PETALING JAYA – Pelakon popular, Syafie Naswip membidas kenyataan jutawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida (DSV) yang mengeluarkan pendapat mengibarkan bendera putih sebagai pemalas dan mengharapkan bantuan semata-mata.
Menerusi ciapan dalam Twitter miliknya, Syafie menggelarkan kenyataan DSV sebagai tidak berakal dan hanya menunjukkan kebodohan.
“Ini contoh kebodohan yang bercakap tidak menggunakan otak. Nak meniaga pun perlukan modal dan ada macam-macam lagi.
“Tak semua orang ada kemampuan itu sekarang. Jika tidak mampu membantu maka jangan merosakkannnya. Dasar!,” ciap Syafie.
Pada hantaran berbeza dalam Instagram, pemilik nama lengkap Mohd. Shafie Naswip berkata, kenyataan DSV tersebut hanya bersifat menjatuhkan semangat rakyat untuk berusaha.
“Jika beliau berniat nak naikkan semangat rakyat untuk berusaha, bukan begitu caranya.
“Ada cara yang lebih holistik. Maaf saya tidak boleh ‘ngam’ dengan orang bersikap dan berfikiran sebegini,” katanya lagi.
Semalam, DSV menggesa individu terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar berusaha untuk keluar daripada kemelut hidup yang dihadapi.
Menerusi satu rakaman, dia berkata, PKP tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengharapkan bantuan semata-mata. – K! ONLINE