PERNAH menjawat profesion sebagai pereka dalaman sebelum mengambil keputusan untuk berkecimpung sepenuh masa dalam bidang lakonan, Frederick Lee tidak pernah menyesali dunia baharunya.
Kata Frederick atau nama sebenarnya Lee Meng Chong, 45, kekesalan tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya, namun mengakui kadang-kadang, dia tetap mempersoalkan sama ada sedang berjalandi landasan yang betul.
“Tiada kekesalan kerana saya tak pernah dan tak suka mengalah dalam kehidupan.
“Cuma, kadang-kadang, sebab pernah menjadi seorang pereka dalaman, pernah terlintas dalam fikiran, sama ada saya berada di landasan yang betul atau tidak.
“Pada masa sama, setiap kali perkara itu wujud dalam fikiran, selalu saja ada kejutan dan peluang baharu dalam kerjaya lakonan.
“Itu yang membuatkan saya sentiasa balik kepada lakonan dan memberi motivasi untuk menjadi seorang pelakon,” kata Frederick
kepada HibGlam pada sesi bersama media semasa mempromosikan siri original terbaharu lakonannya, Trinity of Shadows.
Drama bersiri terbitan Taiwan tersebut sedang hangat ditayangkan menerusi saluran HBO.
Asia semakin berjaya di Hollywood
Baru sahaja mendapat pencalonan Pelakon Lelaki Terbaik pada New York Festivals TV & Film Awards 2021 menerusi watak pembunuh bersiri dalam siri jenayah Singapura, Mind’s Eye, Frederick memberitahu, dia sebenarnya berbangga dengan kejayaan banyak bakat dari Asia di Hollywood sejak akhir-akhir ini.
“Semestinya saya bangga melihat semakin ramai orang Asia membina kejayaan di Hollywood. Diharapkan Hollywood lebih cakna terhadap bakat dari Asia dan memberikan peluang kepada kita untuk lebih menyerlah.
“Orang Asia sudah pergi global. Selera penduduk dunia sekarang lebih tertumpu terhadap karya dan bakat dari rantau Asia. Saya berharap trend ini berkekalan dan terus bergerak maju,” katanya.
Mengulas tentang nominasi yang diterimanya, anak kelahiran Melaka itu berpendapat, bukan trofi atau anugerah yang dikejar, sebaliknya kepuasan dalam setiap karakter yang dijayakan.
“Saya anggap anugerah macam bonus. Bukan sumber utama motivasi.
“Tetapi kalau menerima pencalonan dan menang, sudah tentu saya akan berasa sangat gembira dan berpuas hati,” ujarnya lagi.
Produksi Cina Malaysia tak stabil
Bergelar seorang anak seni berketurunan Cina dan hanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Mandarin atau Kantonis dengan fasih, Frederick mengakui tidak banyak peluang untuknya membina nama di negara kelahiran sendiri, Malaysia.
Bagaimanapun, dia sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperbaiki diri supaya dapat menjadi seorang pelakon yang lebih versatil.
“Produksi tempatan Cina di Malaysia sekarang tidak begitu stabil.
“Kita perlu lebih banyak platform sebab banyak bakat yang bagus di Malaysia.
“Saya perlu sentiasa memperbaiki diri. Dahulu sewaktu di sekolah, saya selalu gunakan bahasa Melayu tetapi sekarang sudah semakin kurang.
“Jadi, saya kena fasihkan diri dalam banyak bahasa termasuk Inggeris dan Melayu selain bahasa ibunda (Mandarin),” luahnya.
Tekanan jadi adik Christopher
Bercakap tentang abangnya, Christopher Lee yang terlebih dahulu membina nama di Taiwan dan Singapura sebagai seorang pelakon, Frederick tidak menafikan berasa tertekan, terutama sewaktu mula-mua berkecimpung dalam dunia lakonan.
Lama-kelamaan, dia mula menerima perihal itu sebagai satu keberkatan akan penglibatannya dalam dunia lakonan.
“Mula-mula memang saya agak tertekan, namun sekarang sudah jadi satu keberkatan bahawa dia ialah abang saya.
“Wajah kami seiras dan kadang-kadang orang tertukar. Apa pun, saya tak pernah rasa tak seronok menjadi adik kepada Christopher.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepadanya,” tutur Frederick yang pernah menang Pelakon Lelaki Terbaik pada Golden Awards 2014 menerusi karya The Descendant.
Mengulas tentang karakternya sebagai Hu Ta-Dong dalam The Trinity Shadows, Frederick berkata, wataknya bukan hanya sekadar watak jahat atau ‘villain’, namun ada sebab mengapa karakter itu diterjemah sebegitu.
“Watak Ta-Dong juga sekadar watak ‘villain’, dia jahat kerana bersebab. Untuk tahu apa sebabnya, penonton kena tengok siri ini.
“Secara peribadi, Ta-Dong memberi simbolik bahawa jangan takut bagaimana orang tengok kita atau bagaimana orang lain ingin menerima kita.
“Jadi diri kita dan ciptalah kisah sendiri,” katanya.
Jangan terkejut, dalam dunia realiti juga, Frederick sebenarnya pernah membuatkan pelakon lain dalam siri berkenaan membencinya demi impak terbaik watak jahat lakonannya.