HULU TERENGGANU – Lebih 50 rumah di Padang Setengge di sini rosak teruk dalam kejadian ribut yang melanda pada hari ini.
Bencana alam yang berlaku pada pukul 6 petang itu merupakan terburuk yang pernah melanda taman perumahan berkenaan dalam tempoh tiga tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Setengge, Sulaiman Ali berkata, ribut berkenaan turut menyebabkan dua batang pokok yang terdapat di Padang Setengge tumbang.
“Sewaktu kejadian, saya sedang mengagihkan bakul makanan kepada penduduk terkesan sebelum terkejut melihat beberapa atap rumah melayang diterbangkan angin kuat.
“Walaupun ketika itu belum lagi hujan, awan telah berubah menjadi hitam dan angin kencang menyebabkan lebih banyak lagi atap rumah penduduk tercabut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Padang Setengge di sini hari ini.
Sulaiman berkata, dia yang terkejut segera berlari masuk ke dalam keretanya untuk menyelamatkan diri.
Tambahnya, setakat ini beliau menerima laporan 50 rumah telah mengalami kerosakan akibat ribut tersebut.
“Saya jangka lebih banyak lagi rumah yang rosak dipukul ribut setelah laporan penuh diperolehi tidak lama lagi.
“Mujur tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. Kejadian ribut ini telah dimaklumkan kepada pihak berkenaan untuk membantu penduduk terjejas,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929