PETALING JAYA – Seorang wanita kerugian RM2,691 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai rakannya setelah menghantar kiriman menerusi Facebook Messenger baru-baru ini.
Suspek dikatakan meminta mangsa memberikan kata laluan sekali guna (OTP) yang didakwa dihantar sebuah syarikat e-dagang terkenal kepada telefon bimbit wanita tersebut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung satu sindiket penipuan yang menggunakan platform syarikat e-dagang untuk memperdaya mangsa.
“Mangsa menerima tawaran untuk menyertai kempen jualan di aplikasi (e-dagang) tersebut melalui seorang rakan yang menghubunginya di Facebook Messenger.
“Suspek menyamar sebagai rakan dan meminta nombor OTP yang diterima daripada telefon bimbit mangsa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang mempercayai individu tersebut adalah rakannya memberikan nombor OTP melalui Facebook Messenger.
“Tidak lama selepas itu, mangsa menerima mesej dari pihak bank yang menyatakan penggunaan kad kredit miliknya berjumlah RM2,691. Kemudian barulah mangsa tersedar dia telah ditipu,” jelas.
Mangsa kemudian menghubungi rakannya sebelum dimaklumkan akaun Facebooknya digunakan oleh suspek dipercayai sindiket penipuan.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sekiranya menerima mesej dari mana-mana aplikasi dan peka mengenai isu penipuan online,” katanya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929