PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyambut baik hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk berkolaborasi menerusi Kembara Prihatin Negara (KPN) dan Ops Bantu dalam usaha memperluaskan jaringan penyampaian bakul makanan.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sumbangan kepada program itu akan diselaraskan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diagihkan.
“Sumbangan juga akan diagihkan menerusi KPN dan Ops Bantu bersama Skuad Aman Wanita (AMANITA) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota RELA di peringkat daerah masing-masing.
“Sejajar dengan konsep “community engagement”, KPN dan Ops Bantu akan membawa perkhidmatan PDRM agar lebih dekat dengan komuniti serta membantu masyarakat dalam usaha mengesan dan menangani gejala sosial untuk dipanjangkan kepada KPWKM sebagai tindakan intervensi bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Rina bersama-sama menyertai agihan barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan keperluan lain kepada lebih 200 ketua isi rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek hari ini.
“Melalui usaha menyantuni mereka yang terjejas ini, JKM juga menjadi pemudahcara bagi menyediakan barangan keperluan khusus yang lain seperti ubat-ubatan atau barangan bayi
“Tidak hanya setakat itu, JKM juga menyediakan khidmat sokongan kaunseling untuk terus memastikan tanggungjawab menjaga kebajikan kumpulan sasar tidak pernah terhenti,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929