RANTAU PANJANG – Taktik seorang pengedar dadah menyembunyikan sebanyak 103 biji pil kuda di dalam kotak kasut tidak berhasil apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dapat menghidu perbuatan itu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kubang Pak Itam di sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 1.30 pagi itu, anggota PGA merampas pil kuda bernilai RM1,030 selepas menjalankan pemeriksaan di dalam rumah lelaki berusia 28 tahun.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa serbuan dijalankan, anggota PGA telah membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek, namun tiada barang salah bersamanya.
Katanya, anggota PGA terus menjalankan pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik sebelum menjumpai sebuah kotak kasut.
“Kita telah menemui satu botol kaca yang mengandungi sembilan tiub penyedut minuman berwarna biru dengan setiap satunya berisi 10 biji pil disyaki dadah jenis pil kuda.
“Selain itu, satu botol kecil berwarna putih mengandungi 13 biji pil kuda di dalam tiub turut ditemui di atas lantai,” katanya kepada pemberita hari ini.
Azhari memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929