JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar pembinaaan Pusat Transit Gelandangan di Johor Bahru dipercepatkan berbanding tarikh cadangan asal ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Baginda bertitah agar pembinaan pusat itu disegerakan bagi membolehkan golongan berkenaan menjalani kehidupan dengan lebih terjamin.
Titahnya, menerusi laporan baru-baru ini dianggarkan terdapat lebih 500 orang yang hidup gelandangan di bandar raya ini.
“Saya menitahkan agar pembinaan Pusat Transit Gelandangan di Johor Bahru dipercepatkan supaya mereka yang hidup gelandangan ini dapat tempat tinggal yang lebih selesa dan bantuan dari segi makanan dan kesihatan dapat disampaikan kepada mereka.
“Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, mereka yang hidup gelandangan ini adalah antara golongan yang paling terdedah kepada jangkitan kerana mereka terpaksa tinggal di tepi-tepi jalan atau di tempat awam,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Baginda turut bertitah, agar rumah gelandangan sementara diwujudkan dengan segera.
“Dengan adanya rumah gelandangan sementara, maka risiko jangkitan akan menurun dan mereka juga dapat divaksinasi sambil diberi sokongan sepenuhnya untuk kembali kepada kehidupan normal.
“Mereka juga manusia dan berhak untuk menjalani hidup yang bermaruah. Allah Peliharakan Sultan,” titahnya.
Pada 29 Jun lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru memaklumkan kerja pembinaan Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor di kawasan tanah lapang di Taman Larkin Perdana dijangka akan bermula pada Ogos depan dan siap pada Julai 2022.
Bangunan transit tersebut direka bentuk untuk menampung sejumlah 200 gelandangan dalam satu-satu masa selain dilengkapi dengan pondok pengawal dan hiasan landskap.
Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Datuk Mohd. Rashidi Mohd. Noor semasa meninjau pusat gelandangan di Dataran Tun Sri Lanang di bandar raya ini turut meminta kerajaan agar gelandangan diberi suntikan vaksin.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929