LONDON – Legenda bola sepak Denmark, Peter Schmeichel percaya pasukan itu tidak boleh dipandang rendah kerana memiliki peluang cerah untuk melangkah ke perlawanan akhir Euro 2020.
Beliau yang juga bapa kepada penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel merupakan salah seorang pemain pasukan yang melakar sejarah mengejutkan seluruh dunia selepas membantu Denmark menjulang kejuaraan Euro 1992.
Justeru, beliau berharap Kasper mampu mengikut jejak langkahnya dengan menyingkirkan England pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung di Wembley awal pagi esok, seterusnya mara ke pentas final.
Kata Schmeichel, Denmark berpeluang melangkah ke perlawanan akhir berdasarkan prestasi semasa yang ditampilkan, terutama jika perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
“Saya yakin dia (Kasper) akan merasai apa yang saya lalui sebelum ini, namun sekarang ia mungkin sedikit berbeza. Bagaimanapun, saya percaya dengan kemampuannya.
“Sekiranya perlawanan perlu ditentukan menerusi sepakan penalti, saya percaya dia sudah bersedia kerana setiap penjaga gol sedar dengan kemungkinan tersebut.
“Kali terakhir Denmark melangkah ke pentas final kami berdepan penentuan sepakan penalti. Saya harap Kasper boleh mengulangi pencapaian itu,” katanya.
Peter yang juga bekas penjaga gol No.1 Manchester United memberi amaran supaya England tidak memandang rendah kemampuan Denmark meskipun baru pulih daripada trauma selepas insiden yang hampir meragut nyawa pemain tengah, Christian Eriksen.
“Anda perlu sedar, apabila sudah melangkah ke separuh akhir, semua pasukan memiliki kemampuan hampir sama. Setiap pasukan hanya memerlukan selangkah ke final, namun anda perlu rebut tempat tersebut.
“Kami tidak kisah bertemu dengan pasukan mana pun kerana menganggap Denmark sebagai salah sebuah pasukan terbaik. Kami sudah buktikan dengan melangkah ke separuh akhir, jadi kami boleh tewaskan sesiapa sahaja yang akan menjadi lawan nanti,” ujar Schmeichel. – AGENSI