fbpx

Pelitup muka akan dijual RM1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Harga pelitup muka bakal dijual pada harga RM1 sekeping di peringkat runcit manakala 95 sen di peringkat pemborong.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia adalah sebahagian daripada pendekatan untuk membantu rakyat, khususnya ibu bapa yang perlu membekalkan pelitup muka untuk anak-anak mereka ke sekolah.

“Kita bersedia untuk turunkan lagi kepada paras harga yang lebih rendah pada masa akan datang,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Namun begitu, beliau tidak menyatakan bilakah harga baharu pelitup muka itu akan berkuat kuasa.

Alexander dijadual mengadakan sidang media Khamis ini di Dewan Rakyat dan mungkin mengumumkan tarikh kuat kuasa harga baru berkenaan.

Terdahulu, kerajaan telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak dan pengangkutan awam mulai 1 Ogos lalu manakala harga siling diturunkan kepada RM1.50 mulai 15 Ogos ini.

Menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (Stampin-PH) mengenai pertimbangan kerajaan menurunkan lagi harga pelitup muka kerana didakwa segelintir peniaga menjualnya secara lebih murah di pasaran ketika ini, Alexander berkata setiap pertimbangan dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor.

Katanya, ia antara lain merangkumi keselamatan pengguna dan keberkesanan pelitup muka tiga lapis dalam mencegah penularan COVID-19 yang didapati merebak menerusi titisan air.

“Kita bukan sekadar nak jadi popular dengan umum harga rendah atau lebih murah, tetapi nak selamatkan pengguna, justeru apa yang bagus untuk politik, tidak semestinya berkesan dalam menjaga keselamatan pengguna.

“Langkah berterusan akan dibuat supaya penurunan harga ini tidak akan berhenti di sini saja, sebaliknya saya beri jaminan ia bakal turun lagi,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI