fbpx

PGA diarah ke Raub kawal insiden ‘Musang King’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani (kanan) ketika membuat tinjauan di kawasan PKPD di Flat Sri Sabah, Cheras, dekat sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) akan ditugaskan ke Raub, Pahang dalam usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam susulan insiden kekecohan melibatkan 18 pekebun durian ‘Musang King’ dan anggota penguat kuasa, semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengganggu-gugat pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas.

“Di Raub nanti PGA bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan orang awam terjaga semasa menjalankan tugas dan pihak yang terlibat juga wajib mematuhi peraturan undang-undang yang sedia ada.

“Tentu sekali ada dalam kalangan mereka yang tidak berpuas hati, namun mereka perlu menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa,” ujarnya ketika membuat tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Sri Sabah, Cheras, hari ini.

Mengulas berkenaan tindakan beberapa ahli politik yang sanggup merentas negeri/daerah untuk memberi sokongan kepada 18 pekebun durian, jelas beliau, pihak PDRM telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

“Tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka jika terbukti berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan 18 pekebun durian telah ditahan Ahad lalu ekoran melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang.

Bagaimanapun Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun durian ‘Musang King’ itu direman selama dua hari hingga hari ini untuk membantu siasatan, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang turut ditahan dibebaskan dengan ikat jamin.

Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan yang juga ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu bersama Ahli Parlimen Bentong, Wong Teck dan Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilihat hadir ke Mahkamah Raub untuk memberi sokongan kepada 18 pekebun durian yang direman. – K! ONLINE.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI