fbpx

Gamat gred A jadi umpan nelayan Vietnam menceroboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhd. Nur Syam Asmawie (kiri) melihat gamat yang ditangkap oleh nelayan warga Vietnam di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini.

PASIR PUTEH – Kualiti gamat yang dikategorikan sebagai gred A di negara ini sehingga boleh dijual pada harga mencecah RM1,000 sekilogram menyebabkan nelayan asing sanggup menceroboh masuk secara haram ke perairan Kelantan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Sham Asmawie Yaacob berkata, gamat dari perairan negara menjadi pilihan negara luar untuk menghasilkan barangan kosmetik malah banyak yang diimport ke negara Eropah bagi pelbagai tujuan.

Katanya, sehubungan dengan itu, ramai nelayan asing warga Vietnam yang memberanikan diri mencuba nasib dengan menceroboh perairan negara untuk menangguk dan menangkap gamat.

Ujarnya, Maritim Malaysia Kelantan menahan lima nelayan warga Vietnam berusia 25 hingga 38 tahun termasuk seorang tekong yang sedang menangguk gamat di lokasi 97.6 kilometer dari kuala Tok Bali di sini pada Ahad lalu.

“Sebelum mereka ditahan, bot peronda melihat sebuah bot nelayan asing sedang bersauh di kawasan itu kira-kira pukul 5.55 petang. Selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot cuba meloloskan diri dengan memecut laju bot mereka untuk kembali ke perairan Vietnam.

“Selain itu, nelayan bot itu juga bertindak agresif dengan melepaskan lingkaran tali di permukaan laut untuk menghalang bot peronda Maritim Malaysia, namun mereka berjaya ditahan 15 minit kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.

Menurut Muhd. Nur Sham Asmawie, hasil pemeriksaan mendapati, kesemua nelayan asing itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri selain gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap hasil laut di negara ini.

Katanya, Maritim Malaysia Kelantan merampas 200 kilogram gamat, 2000 liter minyak diesel dan peralatan menangguk dengan nilai keseluruhan sebanyak RM300,000.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985. -K! ONLINE.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI