MOSCOW – Hubungan radio dengan sebuah pesawat penumpang membawa 28 orang di rantau Timur Jauh Rusia telah terputus, lapor beberapa agensi berita hari.
Agensi berita Interfax, RIA Novosti dan TASS melaporkan bahawa kejadian berlaku ketika pesawat jenis An-26 itu terbang dari Petropavlovsk-Kamchatsky menuju ke Palana di Semenanjung Kamchatka.
Menurut laporan itu, seramai 28 orang berada di dalam pesawat tersebut termasuk enam anak kapal dan seorang atau dua kanak-kanak dalam kalangan penumpang.
Terdapat laporan bertentangan tentang apa yang mungkin terjadi dengan satu sumber memberitahu TASS, pesawat itu mungkin terhempas ke dalam laut.
Sumber lain berkata, penerbangan itu mungkin jatuh berhampiran sebuah lombong arang batu dekat bandar Palana.
Usaha mencari dilancarkan melibatkan sekurang-kurangnya dua helikopter, manakala pasukan penyelamat berada dalam keadaan siap siaga, kata laporan itu.
Rusia pernah terkenal kerana kerap mengalami kemalangan pesawat, namun, rekod keselamatan lalu-lintas udara negara itu bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, penyelenggaraan pesawat dan dan standard keselamatan yang lemah masih berterusan.
Nahas udara besar terakhir berlaku pada Mei 2019, apabila sebuah Sukhoi Superjet milik syarikat penerbangan Aeroflot terhempas dan terbakar di sebuah landasan di Lapangan Terbang Moscow yang mengakibatkan 41 orang terkorban.
Pada Februari 2018, sebuah pesawat jenis An-148 milik Saratov Airlines terhempas berhampiran Moscow sejurus selepas berlepas.
Semua 71 penumpang dan kru penerbangan tersebut terkorban. Siasatan kemudian merumuskan bahawa kemalangan itu disebabkan oleh kecuaian manusia. – AFP