PETALING JAYA – Terdapat gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di Bandar Tun Razak, Taman Jaya dan Taman Mulia, Kuala Lumpur ekoran berlaku penurunan paras air di Kolam Bandar Tun Razak hari ini.
Air Selangor menerusi maklum balas kepada aduan orang awam di laman Facebook dan Twitter berkata, gangguan bekalan air itu bersifat sementara dan dijangka pulih pada pukul 8 malam ini.
“Pihak kami sedang dalam proses meningkatkan kapasiti pengepaman dan tekanan sistem agihan bagi proses pemulihan di kawasan yang terjejas.
“Bagaimanapun masalah telah diatasi dan pemulihan adalah secara berperingkat sehingga pukul 8 malam ini,” katanya di sini hari ini.
Para pengguna boleh merujuk maklumat terkini melalui aplikasi mudah alih Air Selangor. – K! ONLINE