SELEPAS sekian lama tidak beraksi di hadapan kamera, pelakon jelita Alia Bhatt mengakui berasa sungguh berdebar dan takut untuk memulakan hari pertama penggambaran.
Memetik laporan Hindustan Times, Alia berkata, dia tidak boleh tidur malam apabila memikirkan bakal kembali ke set penggambaran.
“Saya tidak tahu apa yang akan terjadi. Sehari sebelum kembali bekerja (menjalani penggambaran), saya pasti tidak boleh tidur kerana berasa gementar.
“Saya tahu semua pelakon pasti akan melalui pengalaman serupa,” katanya dalam Instagram.
Tambah aktres berusia 28 tahun itu, dia kini kembali beraksi untuk membintangi sebuah filem berjudul Darling. Selain menjadi pelakon utama dalam filem tersebut, Alia turut berperanan sebagai penerbit.
“Saya akan meletakkan seluruh tenaga dan jiwa untuk filem ini. Semoga semuanya berjalan dengan lancar,” ucapnya penuh semangat.