LONDON – Keputusan Maverick Vinales meninggalkan Yamaha pada akhir musim ini memaksa pasukan itu terdesak mencari pelumba terbaik untuk mengisi kekosongan tersebut bagi mengharungi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.
Miguel Oliveira antara pelumba yang berada dalam radar pasukan Monster Energy Yamaha untuk bergandingan bersama Fabio Quartararo pada perlumbaan 2022 nanti.
Bagaimanapun, Olivera mendedahkan dia menolak untuk bersama Yamaha dan memilih untuk kekal bersama pasukan KTM kerana masih mempunyai kontrak bersama pasukan dari Austria tersebut.
“Pada ketika ini, saya mempunyai komitmen bersama pasukan sejak tahun lalu dan saya tidak akan menarik janji saya kepada mereka semata-mata untuk menyertai pasukan lain.
“Tentunya, situasi Vinales mendatangkan sedikit perasaan gugup kerana berbincang mengenai masa depan. Saya juga didekati Yamaha.
“Tetapi, seperti yang saya katakan, fokus saya untuk KTM. KTM adalah pasukan yang hebat dan saya percaya saya mampu menjadi juara dunia bersama mereka.
“Saya masih mempunyai kontrak bersama KTM dan juga telah menjuarai perlumbaan. Justeru, masih ada banyak perkara perlu dilakukan bersama KTM,” katanya.
Oliveira kini berada di kedudukan ketujuh dalam carta kedudukan pelumba apabila meraih satu kemenangan dan dua podium dalam sembilan pusingan perlumbaan ketika ini. – AGENSI