fbpx

Norris berang kena penalti lima saat akibat kebodohan Perez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENTERA Norris (kiri) dikatakan mendesak jentera Perez hingga terkeluar dari litar sekali gus menjadi punca pemandu McLaren itu dikenakan penalti pada GP Austria di Litar Red Bull Ring kelmarin. – AFP

SPIELBERG – Pemandu McLa­ren, Lando Norris mengakui sangat kecewa dengan tindakan pelumba Red Bull, Sergio Perez yang menjadi punca dia terlepas untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua pada Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring kelmarin.

Pemandu berusia 21 tahun itu mempamerkan pemanduan terbaik apabila memberi tentangan hebat dalam kelompok depan, namun tindakannya menghalang Perez pada pusingan keempat mengundang padah apabila dia dikenakan penalti lima saat.

Norris jatuh ke posisi keempat, namun dia bangkit dan berjaya perbaiki saingan apabila meng­akhiri perlumbaan di kedudukan ketiga. Perlumbaan tersebut dimenangi pemandu Red Bull, Max Verstappen dan Valtteri Bottas (Mercedes) di tempat kedua.

“Dia (Perez) ingin memintas saya dari sisi kiri dan ia agak mustahil untuk dilakukan ketika itu. Dia terkeluar sendiri daripada perlumbaan dan saya tidak me­nutup laluan atau menghalang­nya ketika itu.

“Jadi, dia yang mengambil risiko, bukan saya. Saya rasa itu bukan kesalahan saya kerana saya mempertahankan kedudukan. Tidak patut saya dikenakan penalti atas kesalahan orang lain.

“Sudah pasti saya kecewa kerana saya berpeluang untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Bagaimanapun, secara keseluruhan saya gembira kerana kami masih mampu menamatkan podium,” katanya.

Hasil keputusan itu, Norris kini sudah meraih tiga kali podium tempat ketiga sekali gus meletakkanya di kedudukan keempat dengan 101 mata dan hanya dipisahkan tiga mata dengan Perez di kedudukan ketiga dalam carta kedudukan pelumba ketika ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI