fbpx

Rezeki ‘muka jahat’ Dayang Areeda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAYANG AREEDA

UNTUNG sabut timbul, untung batu tenggelam. Mungkin ini pepatah yang sesuai menggambarkan pelayaran kerjaya si cantik Dayang Areeda sepanjang tempoh enam tahun bergelar pelakon.

Reda dengan rezeki populariti yang belum memihak kepadanya, pemilik nama lengkap Dayang Areeda Datu Abdul Razak hanya mampu bertawakal dan berserah kepada Tuhan agar muncul keajaiban dalam perjalanan kariernya.

ENAM tahun dalam industri, Dayang Areeda sentiasa percayakan aturan rezeki Tuhan dan tidak patah semangat meskipun masih kurang dikenali umum.

Tenggelam timbul

“Entah kenapa susah sangat mahu menggenggam populariti.”

Begitulah ungkapan yang terluncur daripada bibir anak kelahiran Kudat, Sabah apabila ditanya tentang namanya yang tenggelam-timbul sebagai pelakon.

Enggan mengalah, Dayang bagaimanapun bersyukur kerana tawaran lakonan masih lebat dan tidak pernah wujud rasa putus asa untuk mempamerkan bakat kepada umum.

Terbaharu, namanya kembali menjadi sebutan selepas muncul dalam dua buah drama yang ditayangkan serentak iaitu Derita Untuk Bahagia siaran Astro sebagai Intan, manakala watak Nasha dalam Masih Ada Rindu (TV3).

“Saya sedar setiap kali muncul dalam mana-mana drama, pasti dihujani dengan pertanyaan, siapa pelakon itu? Dia pelakonkah? Situasi ini masih saya hadapi walaupun sudah enam tahun dalam industri.

“Tiada sekelumit pun rasa kecewa sebab saya sentiasa percaya dengan rezeki Tuhan. Walaupun orang kata nama saya ‘sepi’, tetapi sebenarnya rezeki lakonan tidak pernah berhenti dalam diari sebagai pelakon,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tambah Dayang, dia sentiasa percayakan aturan rezeki kurniaan Tuhan dan yakin bahawa pelangi akan muncul dalam perjalanan kariernya satu hari nanti.

“Tidak mengapa sekiranya saya perlu merangkak atau bertatih untuk kecapi kejayaan. Biarlah lambat, asalkan tidak terpalit kontroversi yang menjatuhkan reputasi,” tutur pelakon berusia 27 tahun itu.

Teruja berkongsi dua drama lakonannya yang ditayangkan serentak baru-baru ini, Dayang menganggap perkara tersebut sebagai bonus kepadanya sejak bergelar pelakon.

“Pada mulanya saya terkejut kerana dua drama ditayangkan serentak. Ini sesuatu yang tidak pernah terjadi sejak bergelar pelakon.

“Alhamdulillah ini rezeki. Walaupun bukan sebagai teraju utama, namun saya berjaya buat orang benci dengan watak antagonis bernama Nasha dan Intan. Itu bermakna orang sudah mula kenal dan ingat saya,” jelasnya.

DEDAH Dayang, dia pernah dihantui ketakutan apabila menerima mesej daripada seorang individu tidak dikenali menerusi Instagram yang mahu menjual minyak pengasih kepadanya.

‘Muka jahat, kejam’

Ditanya tentang kekerapan menggalas tanggungjawab menjayakan watak antagonis, Dayang sendiri agak pelik.

“Sebenarnya saya ada bawa watak baik-baik tetapi mungkin karya tersebut tidak mendapat rating yang baik atau ditayangkan dalam slot yang kurang mendapat perhatian penonton.

“Kadang-kadang terfikir juga mengapa sering diberi watak sebegitu, adakah sebab muka saya nampak seperti perempuan jahat dan kejam?

“Pelik juga sebenarnya,” katanya sambil tertawa kecil.

Katanya, dia tidak pernah memandang mudah apabila ditawarkan watak sedemikian kerana percaya karakter jahat mampu memberi impak terhadap sesebuah karya.

Memegang watak antagonis juga membuka peluang untuknya mewarnakan lagi karakter dan jalan cerita sesebuah drama atau filem.

“Menjayakan watak antagonis sebenarnya menyeronokkan dan bukanlah satu perkara yang mudah kerana perlu bermain 1,001 bentuk emosi. Jahat pun ada pelbagai jenis.

“Selalunya watak baik sedikit membosan sebab terikat dengan emosi yang sama. Jadi, inilah peluang saya untuk tonjolkan lagi bakat dan tahap versatil lakonan kepada pengarah dan penonton,” ujarnya yang turut menerima mesej kecaman daripada netizen impak persembahan sebagai Nasha.

Menjawab tentang dakwaan memegang watak antagonis merupakan tiket untuk meraih populariti dalam tempoh singkat, Dayang tidak menafikan perkara tersebut.

“Saya setuju dengan perkara itu. Sekiranya sesebuah watak dikecam teruk dan menjadi bualan penonton serta netizen, bermakna lakonan tersebut berjaya.

“Lagi orang benci, lagi orang ingat. Contohnya, orang lebih ingat watak Nasha yang saya lakonkan berbanding nama sebenar. Maksudnya, saya berjaya tinggalkan memori kepada penonton.

“Tidak mengapalah jika nama masih tidak popular, asalkan saya berjaya buat penonton ingat lakonan saya. Itu sudah cukup buat saya tersenyum sendiri,” katanya.

IMPAK watak antagonis, Dayang kini sering menerima mesej berbaur kecaman dan kata-kata kesat daripada netizen yang bencikan karakter lakonannya.

Kelas lakonan

Sangat mengagumi dengan bakat pelakon hebat, Nabila Huda, Dayang turut memasang impian untuk menyertai kelas lakonan anjuran anak kepada penyanyi rock terkenal, Amy Search itu.

“Ya Tuhan, saya memang nak sangat sertai kelas lakonan Abil (Nabila) yang memang umum tahu dia seorang pelakon hebat.

“Penting untuk sertai kelas sebegitu sebab dari situ boleh tahu kekuatan dan kelemahan serta apa persediaan yang perlu dilakukan untuk bergelar pelakon.

“Insya-Allah saya akan cuba untuk sertai bengkel tersebut. Harap dapat ‘curi’ ilmu daripada Abil yang sentiasa memberi kelainan dalam lakonannya,” tambah Dayang.

Dalam pada itu, Dayang juga berpendapat kelas lakonan juga antara cara untuk menambah baik kelemahan diri memandang dia juga perlu bersaing untuk kekal dalam industri seni.

“Persaingan dalam industri memang wujud memandangkan hampir setiap hari pasti ada sahaja nama baharu yang muncul untuk bergelar pelakon dan penyanyi.

“Saya perlu lakukan sesuatu. Bukan jalan yang mudah tetapi saya perlu usaha dan tawakal,” katanya mengakhiri perbualan.

BAGI menjana pendapatan sampingan, anak kelahiran Sabah ini turut menjalankan perniagaan produk makanan ringan bekerjasama dengan sebuah jenama tempatan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI