PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan tujuh Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan yang memfokuskan agenda kepada penggiat industri sukan sebagai usaha tuntas serta penampan untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peruntukan sebanyak RM18 juta disediakan di bawah Geran Prihatin Industri Sukan (GPIS) dan dijangka boleh memanfaatkan kira-kira 6,000 buah syarikat perniagaan berdaftar berkaitan industri sukan.
“GPIS disediakan khusus untuk manfaat pengusaha fasiliti sukan dan rekreasi komersial yang terjejas sebagaimana yang diumumkan dalam PEMULIH dengan bantuan RM3,000 secara one-off.
“Permohonan mendapatkan GPIS dibuka mulai hari ini dan boleh memohon melalui pautan gpis.kbs.gov.my,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, inisiatif lagi juga melibatkan moratorium bagi pengiat sukan secara automatik dengan penyediaan surat pengesahan dan insentif sewaan dan operator perniagaan fasiliti sukan KBS.
Katanya, KBS akan memberikan insentif sewaan fasiliti sukan dan rekreasi seliaan pada kadar 50 peratus untuk tempoh enam bulan akan datang terpakai kepada fasiliti sukan dan rekreasi milik Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) dan Impact Integrated.
“Pengecualian sebanyak 50 peratus kadar sewaan selama enam bulan bermula dari tarikh PKP3.0 berkuat kuasa juga diberikan kepada operator perniagaan fasiliti.
“KBS juga telah memanjangkan cadangan pelaksanaan pengurangan bayaran lesen perniagaan kepada operator sukan untuk pertimbangan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta semua Kerajaan negeri,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929