LOS ANGELES – Selepas hampir enam tahun menjalin hubungan cinta, pasangan penyanyi popular Gwen Stefani dan Blake Shelton akhirnya berkahwin dalam satu majlis yang diadakan secara sederhana pada Sabtu lalu.
Menurut laporan HollywoodLife, pasangan itu melangsungkan majlis perkahwinan di sebuah rumah ladang milik Shelton yang terletak di Oklahoma, Amerika Syarikat.
Bagi melangsungkan majlis tersebut, Shelton turut membina sebuah gereja khas di kawasan perkarangan kediaman mewah miliknya itu.
Menurut laporan media tempatan, tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan pasangan selebriti itu dilihat memakai pakaian serba putih, termasuklah warna dekorasi yang dipilih pengantin.
Bagaimanapun, majlis yang diadakan secara tertutup dan sederhana itu hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak pengantin sahaja.
Sekadar info, perkahwinan tersebut adalah yang ketiga untuk Shelton dan yang kedua buat Stefani.
Terdahulu, pelantun lagu Forever Country itu pernah berkahwin dengan seorang wanita yang juga rakannya ketika di sekolah menengah iaitu Kaynette Williams pada 2003 namun bercerai tiga tahun kemudian.
Shelton kemudiannya berkahwin untuk kali kedua dengan penyanyi, Marinda Lambert pada 2011 sebelum berpisah pada 2015.
Stefani pula sebelum ini pernah berkahwin dengan pemuzik, Gavin Rossdale pada 2002 dan bercerai empat tahun kemudian.
Shelton dan Stefani mula mesra sebagai pasangan kekasih sejak 2015 sewaktu mereka terlibat dalam program realiti The Voice. -K! ONLINE