PETALING JAYA – Beberapa buah lagi negeri berpotensi untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negeri terbabit menunjukkan perkembangan baik untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang.
“Alhamdulillah selain lima buah negeri telah pun beralih ke Fasa 2 PPN, terdapat beberapa buah negeri lagi menunjukkan perkembangan amat baik dan berpotensi mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu Perdana Menteri memaklumkan beliau mempengerusikan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui sidang video dari hospital hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat itu bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 dalam negara.
Jelas beliau, ia termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuatkuasa di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur serta laporan pemantauan setiap negeri dalam fasa pemulihan negara.
“Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini,” katanya.
Tambahnya, beliau merakamkan penghargaan kepada sukarelawan badan amal, parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang tampil menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.
“Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T,” katanya.
Perdana Menteri dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara pada 30 Jun lalu ekoran jangkitan pada sistem penghadaman. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929