SHAH ALAM – Sebanyak 41 kompaun berjumlah RM338,000 dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap premis dan kilang di sekitar daerah ini menerusi Op Patuh Bersepadu selama tiga hari bermula Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya telah memeriksa sebanyak 374 kilang dalam usaha membanteras segala aktiviti pengoperasian yang tidak patuh prosedur operasi standard ( SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Katanya, operasi itu turut disertai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) .
“Berdasarkan pecahan mendapati sebanyak 19 kilang dan 13 premis perniagaan dikenakan kompaun bernilai setiap satunya RM10,000.
“Selain itu, sembilan lagi individu dan pekerja dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, kesalahan paling tinggi dikesan adalah kegagalan menyediakan laluan keluar dan masuk serta gagal memastikan pekerja mengimbas MySejahtera QR code dengan tujuh kes.
Ujarnya, ia diikuti lima kes gagal mendaftar senarai pekerja kepada MITI, beroperasi tanpa surat kebenaran MITI dan bukan kategori perkhidmatan perlu
(4 kes), beroperasi melebihi had kapasiti pekerja ( 2 kes ) dan satu kes membenarkan pekerja ‘dine in’ di kantin kilang.
“Antara kilang melakukan kesalahan itu termasuk pembuatan elektronik, plastik dan e-dagang.
“Kesemua kes diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” jelasnya. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929